Windows XP
Windows XP | |
---|---|
Maklumat umum | |
Jenis sistem | Windows NT dan Microsoft Windows |
Keluarga sistem | Microsoft Windows |
Pembangun | Microsoft Corporation |
Model sumber | Sumber tertutup, Sumber berkongsi[1] |
Keluaran untuk pembuatan | RTM: August 24, 2001 Retail: October 25, 2001 |
Keluaran terkini | 5.1.2600.5512 Service Pack 3 (x86 SP3) / 21 April 2008[2] |
Tersedia dalam | Senarai bahasa |
Didahului oleh | Windows Me dan Windows 2000 |
Diganti oleh | Windows Vista |
Ciri teknikal | |
Pelantar | |
Jenis inti | Inti hibrid |
Lesen | MS-EULA |
Format fail boleh dibaca | |
Pautan berkaitan | |
Tapak web | Windows XP: Homepage |
Status sokongan | |
| |
Rencana dalam siri ini | |
sunting · sunting di Wikidata |
Windows XP ialah salah satu keluarga sistem pengendalian Windows keluaran Microsoft. Akronim XP ialah singkatan perkataan eXPerience (pengalaman) dalam bahasa Inggeris. Semasa pembangunannya, Windows XP dikenali dengan nama kod Whistler sempena nama tempat percutian kebanyakan kakitangan Microsoft semasa pembangunannya iaitu di Whistler, British Columbia, Kanada.
Dilancarkan pada 25 Oktober 2001, Windows XP ialah pewaris kepada Windows 2000 dan Windows Me, menjadikannya keluarga Windows berorientasikan pengguna terawal yang dibina berasaskan teknologi inti Windows NT. Setakat Januari 2006, lebih 400 juta salinan perisian Windows XP telah terjual di seluruh dunia. Windows XP telah digantikan dengan Windows Vista pada 30 Januari 2007.
Windows XP sangat dikenali kerana reputasinya sebagai salah satu sistem pengendalian paling stabil pernah dibina oleh Microsoft kerana Windows XP dibina berasaskan teknologi Windows 2000 yang terbukti sangat stabil. Windows XP juga ialah versi Windows pertama yang menggunakan teknologi pengaktifan perisian dan Windows Genuine Advantage (WGA) bagi mengekang kegiatan cetak rompak, walaupun mekanisme pengaktifan tersebut telah berjaya ditangani oleh pencetak rompak.
Sejarah pembangunan
[sunting | sunting sumber]Sejarah pembangunan Windows XP bermula sejak proses pembangunan Windows 2000 yang asalnya dibina bagi menggantikan Windows NT 4.0 dan Windows 98. Walau baganmanapun, rancangan tersebut telah diubah apabila Microsoft melancarkan Windows 98 SE. Pada tahun 1999, Microsoft mula membangunkan Windows Neptune sebagai versi pengguna rumah bagi Windows 2000. Walau bagaimanapun, projek Neptune tersebut dibatalkan dan digantikan dengan Windows Me, iaitu sistem pengendalian keluarga Windows 9x yang terakhir. Projek Neptune tersebut kemudiannya digantikan dengan projek Whistler yang seterusnya membentuk Windows XP.
Windows XP dilancarkan pada 25 Oktober 2001, dan sejak itu, 3 pek servis telah dilancarkan.
Edisi Windows XP
[sunting | sunting sumber]Secara umumnya, Windows XP secara lazimnya terdiri daripada 2 versi utama, iaitu:-
- Windows XP Home Edition - versi yang disasarkan kepada pengguna rumah.
- Windows XP Professional - versi yang disasarkan untuk kegunaan perniagaan dan pengguna komputer berkuasa tinggi. Windows XP Professional mengandungi ciri-ciri istimewa yang tidak terdapat pada versi Home Edition.
Selain itu, terdapat edisi khas Windows XP yang dibina untuk beberapa jenis komputer khusus, iaitu:-
- Windows XP 64-bit Edition - untuk komputer stesen kerja yang menggunakan pemproses Intel Itanium.
- Windows XP Professional x64 Edition - untuk komputer dengan pemproses 64-bit (jangan terkeliru dengan edisi 64-bit di atas, ia hanya untuk komputer stesen kerja dengan pemproses Intel Itanium sahaja).
- Windows XP Media Center Edition - untuk komputer pusat media. Pusat media ialah komputer khas yang turut dilengkapi talaan siaran televisyen dan radio serta pelbagai ciri lain. Edisi ini tidak dijual berasingan tetapi disertakan dengan komputer pusat media tersebut.
- Windows XP Tablet PC Edition - untuk komputer riba khas yang dikenali sebagai PC tablet. Tidak seperti komputer riba biasa, PC tablet menggunakan sistem pengecaman tulisan pengguna dan pengguna "menulis" menggunakan pen stilus pada skrin yang sensitif dengan pen tersebut. Seperti pusat media, edisi PC tablet tidak dijual berasingan dan disertakan dengan pembelian PC tablet tersebut.
- Windows XP Embedded - sistem pengendalian terbenam bagi peralatan elektronik pengguna khusus seperti mesin ATM, peranti perubatan, permainan video arked, terminal jualan serta komponen VoIP.
- Windows Fundamentals for Legacy PCs - disasarkan kepada sebilangan kecil pengguna khusus Microsoft Software Assurance yang ingin menggunakan Windows XP tetapi hanya mampu memiliki komputer lama (seawal zaman pemproses Pentium).
Windows XP Starter Edition
[sunting | sunting sumber]Windows XP Starter Edition ialah versi berkos rendah yang diedarkan di beberapa buah negara termasuklah Malaysia. Di Malaysia, Windows XP Starter Edition menggunakan bahasa Melayu bertujuan untuk membantu meningkatkan kadar celik IT di kalangan pengguna serta bagi memerangi cetak rompak. Sungguhpun demikian, versi tersebut mempunyai beberapa batasan, iaitu Starter Edition hanya boleh digunakan pada komputer berkuasa rendah, membenarkan sehingga hanya 3 perisian dibuka pada satu-satu masa, serta terdapat beberapa ciri yang dimansuhkan ataupun dinyahupayakan secara lalai.
Windows XP edisi N
[sunting | sunting sumber]Pada Mac 2004, Kesatuan Eropah telah menyaman Microsoft sejumlah €497 juta (AS$603 juta) atas dakwaan memonopoli perisian pemain media menerusi penyertaan Windows Media Player dalam sistem pengendalian Windows. Selain itu, Microsoft diperintahkan untuk menghasilkan versi Windows XP tanpa Windows Media Player, dikenali sebagai edisi N (tanpa Windows Media Player). Walau bagaimanapun, edisi N tersebut mendapat sambutan dingin di kalangan pengguna serta pengeluar komputer kerana harga bagi edisi N adalah sama dengan edisi biasa dengan Windows Media Player, menyebabkan pengguna dan pengeluar berasa rugi.
Ciri-ciri terkini dan diperbaharui
[sunting | sunting sumber]Windows XP memperkenalkan beberapa ciri terkini, antaranya:-
- Proses memulakan Windows dan hibernasi yang lebih pantas.
- Keupayaan untuk menyisihkan pemacu peranti yang lebih baru dan kembali ke pemacu peranti lama sekiranya pemacu peranti yang baru menimbulkan masalah. Ciri ini dikenali sebagai pengembalian pemacu peranti (driver rollback).
- Antaramuka yang lebih mesra pengguna serta rangka kerja yang membolehkan syarikat perisian mereka tema paparan.
- Penukaran pengguna pantas, yang membolehkan pengguna menukar kepada akaun pengguna lain tanpa menutup program dalam akaun pengguna yang masih terbuka.
- Mekanisme penjanaan fon ClearType bagi membolehkan teks pada monitor LCD dapat dibaca dengan jelas.
- Fungsi Remote Desktop, yang membolehkan pengguna mengendalikan komputernya dari komputer lain yang turut menggunakan Windows XP melalui rangkaian komputer ataupun internet.
- Menyokong modem DSL serta rangkaian tanpa wayar.
Antaramuka
[sunting | sunting sumber]Antaramuka Windows XP berorientasikan tugasan. Menu Start dan enjin pencari direka semula dan pelbagai kesan visual turut ditambah, termasuklah:-
- Petak segi empat tepat dengan warna biru lutcahaya di dalam Explorer
- Grafik seakan-akan "watermark" pada ikon folder, menunjukkan jenis fail yang tersimpan di dalamnya
- Bayang-bayang pada label ikon di dalam desktop
- Bar tepi berasaskan tugasan pada tetingkap Explorer
- Keupayaan untuk menghimpunkan banyak butang tetingkap bagi program yang sama pada satu butang sahaja
- Keupayaan untuk mengunci bar tugasan serta bar alatan lain bagi mengelakkan perubahan yang tidak disengajakan
- Paparan program yang baru dipasang pada menu Start
- Bayang-bayang di bawah menu (Windows 2000 ada bayang-bayang pada kursor tetikus, tetapi bukan pada menu)
Tema persekitaran Windows XP dikenali sebagai Luna, tetapi pengguna berupaya untuk menukar tema lain dengan memasang program penukar tema yang boleh dimuat turun melalui internet.
Keperluan sistem
[sunting | sunting sumber]Keperluan sistem adalah seperti berikut:-
Minimum | Disyorkan | |
---|---|---|
Pemproses | 233 MHz | 300 MHz atau lebih tinggi |
Ingatan | 64 MB RAM (mungkin mengehadkan prestasi dan sebahagian ciri-ciri) | 128 MB RAM lebih tinggi |
Kad grafik dan monitor | Super VGA (800 x 600) | Super VGA (800 x 600) atau resolusi lebih tinggi |
Ruangan bebas cakera keras | 1.5 GB | 1.5 GB atau lebih tinggi |
Pemacu | CD-ROM | CD-ROM atau lebih baik |
Peranti | Papan kekunci and tetikus | Papan kekunci dan tetikus |
Lain-lain | Kad bunyi, pembesar suara, and fon kepala | Kad bunyi, pembesar suara dan fon kepala |
Nota: Windows XP SP2 memerlukan tambahan 1.8 GB cakera keras bagi tujuan pemasangan.
Pek servis dan sokongan
[sunting | sunting sumber]Microsoft telah menghasilkan 3 pek servis.
Windows XP tanpa pek servis
[sunting | sunting sumber]Sokongan tanpa pek servis telah tamat pada 30 September 2004.
Service Pack 1
[sunting | sunting sumber]Dilancarkan pada 9 September 2002, SP1 dilengkapi utiliti bagi membolehkan pengguna memilih perisian aplikasi utama bagi aktiviti seperti melayari laman web. SP1 juga menyokong USB 2.0 dan SATA. Sokongan terhadap SP1 tamat pada 10 Oktober 2006.
Service Pack 2
[sunting | sunting sumber]Windows XP SP2 dilancarkan pada 6 Ogos 2004 dengan memfokuskan terhadap keselamatan sistem. SP2 dilengkapi perisian firewall yang lebih bersepadu, sokongan Wi-Fi yang lebih baik, penyekat iklan timbul pada Internet Explorer dan Pusat Keselamatan Windows yang memantau keadaan perisian antivirus, Windows Update dan perisian firewall. SP2 juga turut menyokong teknologi Bluetooth.
Service Pack 3
[sunting | sunting sumber]Windows XP SP 3 telah disebarkan pada 23 April 2008 (bagi pelanggan TechNet dan MSDN) dan 6 Mei 2008 bagi pengguna umum.
Kitaran jangka hayat sokongan
[sunting | sunting sumber]Sokongan terhadap Windows XP tanpa pek servis serta SP1 telah pun ditamatkan, manakala sokongan terhadap SP2 akan tamat dalam masa 4 tahun selepas dilancarkan. Walaupun Microsoft memberi jaminan Windows XP masih boleh didapati di pasaran dalam masa 12 bulan selepas pelancaran Windows Vista di pasaran antarabangsa pada 30 Januari 2007, kebanyakan pengeluar komputer sudah tidak lagi menjual komputer baru dengan Windows XP hanya beberapa bulan selepas pelancaran Vista.
Pada 14 April 2009, Windows XP telah memasuki fasa pemanjangan sokongan yang tamat pada tahun 2014.
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]- Senarai sistem pengendalian
- Perbezaan sistem pengendalian
- Sejarah sistem pengendalian
- Windows Firewall